Hari ini Hariq bangun bersama cerita mimpinya semalam.
HARIQ: Ibu, hari ni cuti tak?
IBU: Hari ini hari Jumaat kan, sekolah lah
HARIQ: Bukan ke cikgu kata hari ni cuti, ya.. bu... Hariq mimpi malam tadi. Ibu nampak tak mimpi Hariq?
IBU: Hariq, Ibu tak boleh nampak mimpi Hariq.
HARIQ: Kan Ibu ada dalam mimpi Hariq.
IBU: Hariq, walaupun Ibu ada dalam mimpi Hariq, Ibu tak tahu Hariq mimpi apa. Ibu tak nampak mimpi Hariq. Kadang-kadang Ibu dengan Hariq dapat mimpi yang sama, tapi bila kita bangun, Ibu tak tahu pun Hariq mimpi apa. Hariq pun tak tahu Ibu mimpi apa.
Mimpi adalah mainan tidur.
Mimpi kadang-kadang membawa makna. Kadang-kadang membuatkan kita kesiangan. Namun mimpi di siang hari selalu dikaitkan dengan angan-angan. Pesan arwah Bonda Hjh. Dyg Anum, jika kita mimpi yang tidak baik usah diceritakan kepada sesiapa kerana bimbang menjadi nyata. Tetapi jika mimpi yang indah harus segera diceritakan supaya cepat menjadi kenyataan.
Mimpi terindah yang pernah aku dengar dari Ayahnda Hj. Harun ialah ketika aku berusia 15 tahun, Ayah bermimpi bertemu Baginda Rasulullah di Masjid Kg. Bongek lalu solat subuh bersamanya dan usai solat mereka bersalaman.
Mimpi terakhir yang aku pernah dengar dari arwah Bonda Hjh. Dyg Anum ialah beberapa hari sebelum arwah dijemput Ilahi, awrah bermimpi beliau mengibas sehelai kain putih, angin bertiup lalu semua debu-debu di kain itu berterbangan. setiap kali dikibarkan kain itu, angin akan bertiup dan debu berterbangan lagi.
Dua mimpi yang sangat bermakna buatku.
Mimpi adalah satu ruang yang tidak berpintu. Kita didatangi mimpi tetapi kita tidak boleh keluar atau masuk di ruang itu mengikut waktu. Impian juga boleh menjadi mimpi. Apa-apa pun usah kita biarkan mimpi itu membunuh realiti. Mimpi adalah mimpi.
Dua Hati Satu Mimpi
Sehebat mana pun bicara, hati tidak pernah berdusta.
Namun, hati tidak boleh dizahirkan tanpa bicara.
Hati menyimpan segala rasa, segala firasat, segala dendam.
Hati juga melahirkan cinta.
Hati juga boleh terpaut.
Namun fikiran kadang lupa, hati juga punyai rasa...
Sehingga tajam lidah menghirisnya
Tajam pandangan mata menikamnya
Sumbang langkah membunuhnya.
Dua hati juga bisa menyimpan satu Mimpi
Dua hati juga bisa saling bicara
Dua hati juga bisa saling cinta
Namun dua hati tidak mudah bersatu dalam realiti.
Bila ada antaranya tidak percaya
Bila ada antaranya menyimpan firasat berbeza
Bila ada antaranya membuat tafsiran tak sama
Walaupun merah hati sama warnanya...
Hati perlukan semangat
Hati perlukan keberanian
Hati perlukan tekad
Untuk menzahirkan isinya..
Agar yang tersirat itu jelas dan nyata...
Jika itu tidak dapat dilaksana...
kekallah dua hati dalam mimpi yang sama tetapi realitinya berbeza.
DNA
Maaf, tika lena kita, aku sanggup diulit mimpi yang sama tetapi saat terjaga, aku bangun dalam dunia berbeza.







