About Me

My photo
To know me is to love me...

my ninjas

my ninjas

Tuesday, 7 December 2010

The 2 Ninjas turned 2 Samurais...




Alhamdulillah, 4 Dis 2010 lalu 1st Ninja n 2nd Ninja selamat dikhatankan.

Berkhatan bukan hanya amalan masyarakat Islam masa kini malah menjadi amalan masyarakat lain di serata dunia. Ternyata amalan ini mendatangkan kebaikan kepada kesihatan. Jika dahulu berkhatan merupakan perkara yang sangat gerundi kalangan kanak-kanak Islam namun kini ianya tidak lagi merungsingkan malah menjadi permintaan walau seawal usia 6 tahun. Kanak-kanak kini merasakan amat bangga jika mereka telah berkhatan. Amat jarang kita melihat kanak-kanak lelaki berkhatan di usia 12 tahun. Rata-rata telah melaluinya di usia 9 tahun.

Seiring dengan kemajuan teknologi, cara melaksanakan khatan ini juga telah dimajukan. Tidak ada lagi 'Tok Mudim' mundar-mandir menjejaki anak-anak lelaki yang telah cukup usianya. Tidak ada lagi batang pisang yang tumbang untuk melaksanakan tuntutan ini. Pelbagai cara moden boleh dipilih dengan bayaran yang berbeza. Sama ada dengan gunting dan jahitan, 'lazer' atau semudah 'clam' sahaja. Semuanya digandingkan dengan suntikan pelali. Kanak-kanak kini boleh tersenyum melaluinya. Boleh berseluar dan melakukan aktiviti harian seperti biasa selepas sehari berkhatan.

Namun, sejauh mana sekalipun arus kemodenan itu, amalan dan tradisi lama harus dilupa jangan. Berendam dan mengaji sebelum berkhatan masih boleh diamalkan kerana amalan ini tidak menjejaskan teknologi.

Monday, 6 December 2010

Kembara bersendirian.

Sayu melihat 'Atok' bersama beg pakaian dan beg galasnya yang agak berat. Melihat sahaja hati telah robek, inikan pula yang melaluinya.... Pakaiannya kini diurus sendiri. Segala macam yang di bawanya juga diaturnya sendiri... Tiada lagi kembara berdua-duaan. Tiada lagi 'diskusi' tentang apa yang perlu diisi dalam beg itu. Tiada juga diskusi apa yang hendak dibekalkan ke sana sepanjang perjalanan nanti . Wajah exited juga malap. Hanya single tiket dalam koceknya.

Niat hati ingin merakamkan potret nya saat melangkah pergi.... namun tak tersampai hati memetik detik itu. Juraian airmata telah jatuh sebelum kanta dapat ku fokuskan ke arahnya.
Tambah sebak melihat wang atas meja yang kubekalkan untuknya ... dipulangkan buat belanja sekolah anak-anak. 'Ayah ada cukup wang untuk belanja di sana' katanya.

Lambaian tangan anak-anak disambutnya dengan lambaiannya juga. Aku juga melambai bersama senyuman dan tangis. Seakan terbayang 'Uwan' bersamanya seperti kebiasaannya. Atau mungkin juga benar.....

Monday, 15 November 2010

Oktober 2010 (102610) dalam kenangan...

Puisi buat bonda dan nenda yang pergi pada Oktober 2010.

Mengimbas kembali Oktober lalu....
Hati kembali sebak
Mata kembali basah
Rindu kembali parah
Luka kembali berdarah
Namun aku tetap pasrah.


Bonda...
Tiap kali melewati laluan itu
pusaramu seakan melambai
masih adakah impianmu yang tak kesampaian?
atau
masih adakah dosaku yang tak kau ampunkan?



Nenda...
suaramu mengalun ayat-ayat suci amat kurindui

rindu yang amat perit
perit melihat hidupmu tanpa cahaya
namun kutahu engkau lebih senang di sana
dengan limpahan 'Nur-kasih di syurga'...

Innalillahiwaninna ilaihirajiuun.

Friday, 22 October 2010

Siapa dia sebelum daku?

Siapa Dia Sebelum Daku
Roy & Fran
Aku selalu memikirkannya
siapa dia sebelum daku
gadis kau puja hingga kecewa
kini kau tak menyatakan
Aku pun juga sering tertanya
siapa dia sebelum daku
pria kau puja hingga merana
kau merahsiakannya dari ku
Sejak kau wujud dalam hidupku
semuanya telah terpadam
bak bayangan yang indah di malam purnama
ditelan mentari pagi
apa disentuh sejarah dulu
hanya menyakit hati sendiri
telah ditemukan kita berdua
engkau lah sinar hidupku
engkau lah sinar...
engkau lah pelita...
engkau lah sinar hidupku....

Thursday, 21 October 2010

Dilema Undangan

Zaman dah berubah.... pelbagai cara mengundang atau menjemput tetamu ke majlis.

Namun tidak kurang juga pelbagai cara juga menolak undangan.


Paling seronok jika menerima undangan dengan kad yang pelbagai reka bentuk. Beriben , berbunga, berbau harum dan dalam pelbagai warna. Bukan setakat majlis sahaja bertema namun kad undangan juga bertema . Contohnya dengan warna tema yang sama seiring dengan majlis.


Pengirim kad sudah pasti inginkan undangan mereka dipenuhi. Namun bagi si penerima tafsiran ke atas undangan adalah pelbagai. Jika si pengirim hanya menghantar e-mail atau sms, maka undangan itu ditafsirkan agah lewah. Trend terkini adalah undangan di facebook. Undangan di facebook juga disertakan ruang untuk menjawab sama ada hadir atau tidak. Ini juga mendatangkan dilema kepada kedua-dua pihak. Bagi pihak pengirim, bajet yang dikira adalah berdasarkan jawapan yang diterima namun sudah pasti ada yang tidak menjawab sama ada hadir atau tidak kerana bukan semua akan membuka facebook saban hari. Maka bajet itu sudah tidak valid lagi... Bagi pihak si penerima undangan melalui laman sosial ini pula adalah pelbagai. ada yang menganggap hal ini satu kemajuan, namun tidak kurang juga yang menganggap ianya tidak serius lantas diabaikan.


Tertarik dengan kad undangan pelbagai media ini, mengundang peningkatan e-dagang. Iklan dan pasaran kad undangan di sesawang meningkat. Jika dahulu proses menempah kad undangan agak memakan masa dan kos yang tinggi kerana bayaran juga termasuk kos 'design'. Namun, kini himpunan rekabentuk hanya perlu dipilih. Dengan satu 'klik' sahaja kita boleh mendapatkan kad undangan seperti yang diingini. Dengan semudah satu 'klik' juga kita boleh mengirim e-kad kepada seberapa ramai yang kita mahu dan semudah itu jugalah penerima boleh menolak atau menerima undangan.

Namun dilema mengirim dan menerima e-kad ini tetap ada kerana kita baru sahaja berada di era perubahan... masih ramai lagi yang buta IT atau memang lebih selesa dengan amalan tradisional. Dilema utama mengirim dan menerima e-kad ini adalah.

Adakah si pengirim telah pasti e-kad telah tiba ke destinasi atau telah dibaca oleh penerima? Sejauh manakah si penerima menganggap undangan melalui e-kad ini serius atau hanya sekadar ajak-ajak ayam.? Emm tepuk dada tanya selera....

Wednesday, 20 October 2010

Temujanji dimungkiri...



Terima 'sms' , "Esok meeting habis tengahari, pas tu terus sambung meeting lagi di KL, 3 hari, weekend ni ada majlis kena attend plak then next week meeting sambung lagi 3 hari lagi"

Emmm terpaksa membatalkan janji untuk memenuhi undangan perkahwinan di Melawati hujung minggu ini. nampaknya undangan majlis harijadi di Kajang juga terpaksa ditolak.
Janji untuk beriadah dengan 'The little ninjas" juga mungkin terpaksa dimungkiri.


Setelah semalaman tidak dapat melelapkan mata menjaga the 3rd Ninja yang demam keracunan makanan. Hampir setiap jam menukar lampin pakai buangnya maka bermula pagi yang sangat kusut... Jam 6.30 the 1st and 2nd Ninjas digerakkan untuk bersiap ke sekolah.


"Abang mandi dulu",
"Semalam Adik mandi dulu"
"Ibu tak sempat nak masak, makan cereals aje ye"
"tuang susu elok-elok"

adalah dialog pagi itu.....
Selesai menghantar dua Ninjas ke sekolah, terus ke pusat jagaan untuk menghantar The 3rd Ninja. Then ke office... oh! tidak! hari ini ada temujanji kelinik gigi.... emmm baru 8.20 am, sempat lagi ni.... Isi borang untuk ke kelinik.

Hampir setengah jam mencari parking. Tergesa-gesa masuk ke dalam bangunan Pusat Kesihatan dan meluru ke Kaunter Pergigian.

"Puan, semalam kami telefon tapi tak dapat. nak maklum pada puan, temujanji puan terpaksa ditunda sebab doktor kami bertugas di sekolah".

Kembali semula ke pejabat. Di hadapan meja sehelai memo bertulisan tangan.

"Puan, kami hadir sejak jam 8.30 tadi. Nampaknya Puan sibuk, nanti kami akan hubungi puan semula "

Alamak! semalam janji dengan wakil hotel untuk berbincang.

Terpaksa akur dengan temujanji yang dimungkiri...

Monday, 11 October 2010

Warkah seorang ibu


Sejahtera ke atasmu anak-anakku...

Semoga kita sentiasa berada di bawah lindunganNya.

Di sini ibu lakarkan lembaran cinta dan kasih ibu pada kalian...
Harapan ibu agar kalian sentiasa mengingati bait-bait yang akan ibu sampaikan ini.


Tiada ibu yang bisa melupakan kelahiran anaknya...


Kehadiran kalian adalah sesuatu yang paling istimewa dalam hidup ibu... Itulah jalinan cinta ayah dan ibu. Semestinya setiap kelahiran yang ibu alami disulami dengan harapan.... Harapan itulah membawa kepada kegigihan membesarkanmu...

Ibu akur setiap insan dilahirkan dengan berbagai perbezaan walaupun secara amnya putih bersih dan tangan ibu yang harus mencorakkannya. Namun, naluri keinginan dan kecenderungan kalian berbeza bukan...

Maafkan ibu jika tersalah tafsir permerhatian ibu...

Namun apa pun jua yang ingin ibu harapkan adalah berpandukan pengalaman dan asam garam kehidupan yang telah dilalui.

Pertamanya:

Peganglah tali agamamu. Apa pun jua tidakan adalah kerana Nya. Percayalah bahawa mati itu benar. Sentiasalah bersedia menghadapinya. Islam itu amat mudah jika kita bijak menilai hukumnya. (wajib, sunnah, harus, makruh dan haram)

Keduanya:

Peliharalah hubunganmu sesama manusia. Hormatilah orang tua dan sesiapa sahaja dan bantulah mereka yang lemah dan memerlukannya. Dalam menjaga hubunganmu dengan tuhan jagailah jua hubunganmu sesama manusia. Janganlah hanya mengejar agamamu sedangkan hubungan sesama insan kau abaikan seadangkan kita diberi pilihan untuk tidak meninggalkan kedua-duanya. Jika kau tidak bisa melakukan yang sunnah maka janganlah lakukan yang haram.


Ketiganya:

Berbaik sangka dan positf dalam kehidupan. Usah kau menyulitkan keadaan dengan berburuk sangka. Sentiasa berpegang kepada rasional dan positif menghadapi cabaran. Usah cepat melatah dan berperasaan baran. Fikiranmu akan lebih tenang jika kita menghadapi segala rintangan dengan tenang. Jika kau telah berumah tangga, sikap berburuk sangka dan fikiran negatif akan menghancurkan hidupmu. Cemburu tandanya sayang.... namun harus bijak menanganinya. Jangan biarkan cemburu menguasai fikiranmu sehingga kau sentiasa berburuk sangka sekali gus menjarakkan hubunganmu kelak.

Keempatnya:

Jadilah seorang yang jujur dan amanah dalam segala hal. Simpanlah rahsia selagi ia bernama rahsia.... Jangan membuka pekong di dada. Jangan dedahkan keaibanmu dan sesiapa sahaja. Jadilah dirimu yang tidak bertopeng. Telus dalam tindakan dan telus dalam fikiranmu.

Semoga kita sentiasa di bawah payung-Nya...


Cinta seorang ibu....

Tuesday, 5 October 2010

Tangan yang mengoncang buaian...







Tulisan kali ini lain sikit baunya...

Melihat realiti hidup, mendesak perasaan untuk berbicara tentangnya.

Wanita zaman sekarang telah melangkah jauh menjurangkan perbezaan yang amat dalam. Saban tahun peranan wanita semakin ,mencabar. Serentak dengan cabaran menghadapi perubaan sikap anak-anak zaman kini. Serentak juga dengan cabaran mempertahankan institusi kekeluargaan masa kini.

Tidak terhad apa jua bidang, ekonomi dan industri sekali pun peranan wanita amat besar.
Jika dahulu wanita memainkan sebahagian besar peranannya hanya di dalam rumah. Membesarkan dan mendidik anak, menyediakan makanan, menguruskan pakaian dan tempat kediaman. Namun kini tugasnya tidak hanya melayan karenah seisi rumah.

Di luar rumah, bilangan wanita berkerjaya hampir sama banyaknya dengan bilangan lelaki malah di sesetengah firma bilangan pekerja wanita melebihi lelaki. Bilangan wanita berjawatan tinggi juga tidak kurang jumlahnya. Kini Jutawan di kalangan wanita juga kian bertambah.

Persoalannya kini;
Apakah peningkatan bilangan wanita berkerjaya membawa kepada kejatuhan kualiti sahsiah generasi akan datang?

Apakah tanggungjawab mendidik anak-anak adalah 100% di bahu wanita? Tidak dinafikan implikasi wanita berkerjaya boleh mengurangkan tumpuan terhadap tugas mendidik anak. Hampir sebahagian besar wanita yang berkerjaya adalah juga seorang ibu. Jika tugas mendidik adalah di bahu isteri atau ibu, maka tidak dinafikan perhatian terhadap mendidik anak terpaksa di agihkan. Apatah lagi jika wanita tersebut adalah ibu tunggal.

Kejatuhan kualiti sahsiah bukan semata-mata berpunca dari kekurangan didikan atau perhatian seorang ibu. Banyak faktor lain yang juga menyumbang ke arahnya. namun yang ingin dibincangkan adalah peranan wanita dalam membendung perkara ini.

Mengimbas kembali masa lampau, anak-anak akan berada di bawah perhatian ibu sebaik selepas pulang dari sekolah. Berbanding kini, mereka akan berada di pusat jagaan, kelas tambahan atau sendirian tanpa pengawasan.

Jika dahulu anak-anak akan bersarapan sebelum ke sekolah dan pulang disambut dengan hidangan tengahari hasil air tangan ibu. Kini?

Jika dahulu anak-anak bermain secara berkumpulan atau berpasukan (galah panjang, sepak takraw, 'zero point', 'polis entry',dsb). Semangat setia kawan, sikap kerjasama, nilai kepimpinan dan sebagainya dipupuk secara semulajadi. Berbanding kini, anak-anak lebih mengemari permaian di alam cyber. Berinteraksi tanpa perasaan yang tulin.

Sikap kebanyakan ibu juga berubah mengikut zaman. Jika ibu-ibu dahulu berkumpul sesama sendiri, topik perbualan adalah lebih kepada rutin dan amalan harian. Menu masakkan, tips membesarkan anak, petua rumahtangga, cara memikat suami adalah topik paling hangat ketika itu. Kini, kita sukar melihat kaum ibu berkumpul dan berbual. Kebanyakkan ibu sekarang berbual di alam cyber sama seperti anak-anak mereka. Paling tidak pun jika berkumpul hujung minggu atau di salon kecantikan (spa, gym dsb) mereka akan bercerita tentang tips kecantikan, fesyen terkini, barangan hiasan. Dan lebih menakutkan ada sebahagian ibu masa kini hanya melihat anaknya di hujung minggu. Anak membesar di tangan orang.

Tidak dinafikan masih ada ibu yang bijak membahagikan masa kerjayanya dan masa rutin hariannya. Namun bilangan mereka semakin menurun. Apatah lagi jika suami juga giat berkerjaya kerana tuntutan ekonomi masa kini dan akan datang. Jika suami memahami, mereka juga akan turut bersama berganding bahu menjayakan institusi rumahtanganya. Kerja harian dibahagikan sama seperti pendapatan isi rumah. Tidak kurang juga ada sebahagian suami yang tidak menjadikan tugas menguruskan rumahtangga dan menjaga anak adalah tugas isteri. Isteri yang diizinkan suaminya keluar berkerja seharusnya mendapat sedikit pelepasan tugasan harian di rumah apatah lagi pendapatan isteri juga disalurkan untuk rumahtangga tercinta.

Isteri yang memiliki suami yang ringan tulang, seharusnya tidak mengambil kesempatan ke atasnya. Begitu juga suami yang memiliki isteri yang 'super woman', seharusnya menghargainya dan turut membantunya.

Anak-anak yang dibesarkan adalah cermin diri kita..... Tunjukkanlah yang terbaik dari kita agar ianya dipancarkan juga dalam diri mereka....
Semoga diizinkan Allah s.w.t.

Thursday, 30 September 2010

Re-Union vs Pertemuan Kembali







Sejak akhir-akhir ini semakin kerap kita lihat dan dengar sana-sini majlis ‘Re-Union’. Emmm perkembangan teknologi kini mampu mempertemukan insan-insan terpisah. jika dulu kita hanya dibantu dengan rancangan 'Jejak Kasih'. paling tidak kita harus pergi ke satu tempat ke satu tempat menjejakinya yang kadang-kala melibatkan kos yang tinggi. Kini sebut saja... 'facebook'... boleh dikatakan 8 daripada 10 orang telah mengenali facebook. Dunia tanpa sempadan semakin hampir menampakkan realitinya...

Namun apa yang ingin diperkatakan di sini adalah kisah pertemuan kembali yang tiada disangka... Rata-rata insan-insan yang terpisah ini dipertemukan kembali setelah hampir 20 tahun tidak bertemu... Jadi pertemuan yang dinanti-nanti ini pasti diutamakan lebih dari segalanya. yang menghadiri majlis pertmuan kembali itu juga ada pelbagai tujuan dan keterujaannya seperti yang ingin saya kupaskan berikut....


1. Untuk bertemu kembali rakan/buah hati lama - dalam pertemuan itu kadang kala kita terlupa perlakuan kita bisa mengundang perpisahan kembali. Jika tutur bicara menunjukkan riak, maklum saja masing-masing dan 'kukuh' kewangan, famili dah besar dan badan pun makin membesar...

Yang beringat tu OK lah... tetapi ada juga yang tidak tahu diri... dengan pertemuan kembali ini mulalah terasa diri muda kembali sehingga 'syok' mengungkit cerita lama maka berputiklah kembali rasa cinta lama... nak jadikan cerita, tidak pula bertepuk sebelah tangan... bermula dengan cerita terkini 'career path' masing-masing, lepas tu update nombor telefon, emmm apalagi diikuti dengan pertemuan susulan... sama ada pertemuan 4 mata atau tak bermata (FB, Mail, sms dll)


2. Untuk mempromosikan perniagaan - ada juga yang jumpa kembali rakan lama dengan tujuan meluaskan pasaran... sangat positif! Tetapi ada juga yang secara halusnya memaksa rakan berkongsi niaga atau memberi sokongan... pujuk rayu membeli produk dan tak kurang janji kosong... emmm kawan lama punya pasal, percayalah bulat-bulat.. tup.. tup... lepas dari majlis 're-union' terus tak jumpa dah... kena tunggu pula 're-union' 20 tahun akan datang..



3. Untuk menemani pasangan - bab ini paling seronok nak bincang sebenarnya.... ada yang temani isteri atau suami ber're-union' dengan semangat nak kenal kengkawan dia sebelum kenal dulu... dan ada juga saja nak tengok dan bandigkan pasanganya dengan kengkawan dia... dan yang tak seronoknya jika kehadiran dia itu dipinggirkan, maklum sajalah... yang berkobar-kobar nak bertemu kembali tu pasangannya bukan dia, so macam malukut ajela.... dan yang lebih sayu dan sadis, bila pasanganya itu dah mula menunjukakan riak muda kembali, lebih-lebih lagi jumpa kekasih lama dalam majlis tu... mulalah lupa pasangan hidup yang sudi menemankannya...


Yang trajisnya ada juga yang ikhlas menemankan pasangannya atas alasan kawan dia kawan kita juga... kan kita dah jadi pasangan suami-isteri, kawin dengan dia bermakna saudara-mara dia juga saudara -mara kita dan kawan-kawan dia juga seharusnya menjadi kawan-kawan kita juga... Tetapi lepas 're-union' pasangan kita tu tak nak kongsi kwan-kawan dia dah... sudahlah dipinggirkan dalam majlis.. dipinggirkan juga diluar majlis... jadual harian dah mula berubah, dah ada 'private time' untuk kawan-kawan dia. Mulalah sorok-sorok info terkini, kononya ala kawan jer... mesra pun as kawan yang lama tak jumpa.. si suami atau si isteri yang tulus itu mula makan hati... tidur tak lena, bimbang mahligai akan bergoyang di saat lena.... nak 'sound' takut digelar cemburu buta, tak 'sound' emmm makan hati cecah air mata... apa taknya bila tengok dia dapat 'sms' macam artis popular. Ada masa free sikit buka FB, laju jer tangan ketuk ayat-ayat cinta.. anak bising mula marah macam singa...
Begitulah kisahnya.. Sabar jerla...

Friday, 27 August 2010

Ku Lihat Hijau











Syukur alhamdulillah masih dipinjamkan nyawa oleh-Nya. Melangkah kaki penuh ceria ke tempat kerja hari ni. Pagi Jumaat yang tenang... Sebaik melabuhkan punggung di kerusi, mata mencari kehijauan... melihat di jendela... kereta bersusun mencari tempat letak kereta. Hanya sedikit kehijauan yang dapat ku tonton. Ini mendatangkan ilham untuk menghiasi tempat kerja dengan kehijauan....
Teringat sejenak ketika di bumi orang. Keindahan pemandangannya tidak banyak yang hijau. Tidak banyak rimba yang tinggal. Yang ada hanyalah padang rumput yang menghijau. Itupun hanya sekiranya dibajai dan dijaga tiap kali habis musim salju. Walaupun udara segar dan nyaman namun tidak ada pohon rendang di celah-celah tembok batu. Patutlah mereka lantang melaungkan 'jagailah alam sekitar kita'. Kita yang tinggal di negara Asia ini sangat bertuah kerana memiliki hutan hijau tropika. Masih banyak rimba yang boleh kita warisi dan wariskan. Semenjak pulang dari perantauan aku sangat insaf dalam urusan ini. Jika berkemampuan akan ku hijaukan setiap inci tanah tumpah darah ku ini.... Biar pewarisku merasai juga bagaimana redupnya mata memandang.......

Tuesday, 24 August 2010

Balik Kampung

Berjalan meredah waktu, rasa amat sepi seketika. Kotak fikir tertutup. Tidak ada apa-apa yang jelas tergambar. Seperti mati? Sedang kereta melungsur laju. Semakin jauh semakin kosong minda ini. Emmmm mata mula tertutup. Sedar aku dalam jeritan si comel. Dia juga tersedar. Kereta mula menghampiri pagar rumah Mak. Aku menjadi sukarelawan yang keluar mambuka pagar. Siapa lagi? Dua ninja Abang dan Adik masih dalam alamnya.Tiada apa yang boleh dijadikan kenangan sepanjang perjalanan itu.

Sebaik kereta berhenti, masa mula berlari. Setiap detik yang ada terisi dengan kenangan. Abang dan Adik dengan penerokaan di luar rumah Ayah. Suami sibuk mengemaskinikan data mindanya dengan berita-berita yang tertulis di lembaran akhbar. Dari berita utama hingga iklan KFC. Si comel tak ketinggalan meneroka segenap ruang yang ada. Jangan dihalang jika tidak mahu ruang bergema. Aku menghabiskan masa di dapur.

Masing-masing menghimpun cerita baru. Mendengar dan membuat aduan ibarat ’hari bertemu pelanggan’. Setiap masalah dicari jalan penyelesaian. Yang sukar akan dibawa ke mesyuarat akan datang. Mak dan Ayah dengan wajah paling riang dan ceria. Hari paling sihat buat mereka. Waktu makan paling meriah. Waktu tidur dilewatkan. Televisyen terpasang sedang tiada mata yang memandang. Hari esok bermula dengan satu kepuasan.

Balik Kampung istilah yang digunakan jika pulang ke kampung halaman. Balik kampung sangat sinonim dengan gambaran suasana kampung yang mendamaikan, sawah bendang, sungai dan pohon bambu. Namun istilah ini masih digunakan jika seorang perantau pulang ke rumah ibu dan ayahnya atau tempat kelahiran waima gambaran kampung itu sudah berbeza. Begitu juga halnya balik kampung digunakan jika kita pulang ke pangkuan keluarga waima mereka tinggal di Johor Bahru, Ipoh mahupun Singapura. Adakah ini membuktikan pembangunan kampung itu telah seiring dengan arus kemajuan atau bahasa itu sendiri seharusnya lebih maju?
Apakah kita harus mencari istilah yang lebih tepat menggantikan balik kampung agar lebih sinonim dengan gambaran kampung moden? Wajarkah penaakulan kita yang seharusnya diubah dari gambaran suasana kampung yang silam kepada suasana yang lebih terkini? Perkara ini tidak menjadi masalah jika kita dilahirkan dalam keadaan yang telah berubah. Tetapi bagi mereka yang dilahirkan di zaman sebelum MERDEKA, di ambang MERDEKA, atau zaman Pop Yea Yea! pasti merasai kampung yang digambarkan dalam istilah balik kampung sudah amat sukar ditemui. Gambaran kampung masa kini sudah tidak seiring dengan istilah kampung yang digunakan untuk kampung masa silam. Mungkin ada yang bersuara ”pentingkah itu semua?” Emmm siapakah yang harus memikirkannya? Bahasa itu milik semua. Kayanya bahasa itu jika kita terus menggunakannya. Maju bahasa itu jika terus memikirkannya. Apakah suatu hari nanti perkataan kampung hanya tinggal kata nama yang tidak lagi bermain dibibir tiap kali menjelang hari raya?

Mulanya di sini….

Kemajuan teknologi hari ini menampakkan satu pembangunan yang pesat dunia siber. Pengetahuan kewujudan alam sesawang kini hampir menyelurh sehingga jumlah buta IT dikalangan murid sekolah hampir sifar. Penggunaan laman- laman sesawang juga sangat pelbagai. Dari pengiklanan, luahan perasaan, halaman personal, perkongsian ilmu, sehingga pemasaran dagangan. Tidak dinafikan juga kewujudan penyalah gunaan kemajuan ini oleh pengguna IT menyebabkan dunia tanpa sempadan ini amat digeruni. Pemalsuan identiti, pencerobohan, penyebaran fitnah, maki hamun penyeludupan, kecurian dan sebagainya adalah sebahagian kesalahan yang telah dikesan sama seiring dengan kewujudan virus dalam alam ini.

Namun, segala itu adalah cabaran dalam kemajuan teknologi ini. Kesempatan harus direbut agar kita berada sebaris dengan kemajuan. Justeru, laman ini akan digunakan sebaik mungkin untuk berkongsi pendapat, cerita, kenangan dan segala yang ingin dirakamkan menjdai kapsul waktu hadiah untuk pewarisku.