Alhamdulillah, 4 Dis 2010 lalu 1st Ninja n 2nd Ninja selamat dikhatankan.
Berkhatan bukan hanya amalan masyarakat Islam masa kini malah menjadi amalan masyarakat lain di serata dunia. Ternyata amalan ini mendatangkan kebaikan kepada kesihatan. Jika dahulu berkhatan merupakan perkara yang sangat gerundi kalangan kanak-kanak Islam namun kini ianya tidak lagi merungsingkan malah menjadi permintaan walau seawal usia 6 tahun. Kanak-kanak kini merasakan amat bangga jika mereka telah berkhatan. Amat jarang kita melihat kanak-kanak lelaki berkhatan di usia 12 tahun. Rata-rata telah melaluinya di usia 9 tahun.
Seiring dengan kemajuan teknologi, cara melaksanakan khatan ini juga telah dimajukan. Tidak ada lagi 'Tok Mudim' mundar-mandir menjejaki anak-anak lelaki yang telah cukup usianya. Tidak ada lagi batang pisang yang tumbang untuk melaksanakan tuntutan ini. Pelbagai cara moden boleh dipilih dengan bayaran yang berbeza. Sama ada dengan gunting dan jahitan, 'lazer' atau semudah 'clam' sahaja. Semuanya digandingkan dengan suntikan pelali. Kanak-kanak kini boleh tersenyum melaluinya. Boleh berseluar dan melakukan aktiviti harian seperti biasa selepas sehari berkhatan.
Namun, sejauh mana sekalipun arus kemodenan itu, amalan dan tradisi lama harus dilupa jangan. Berendam dan mengaji sebelum berkhatan masih boleh diamalkan kerana amalan ini tidak menjejaskan teknologi.
