Tajuk hari ini mengingatkan aku pada sebuah filem lama lakonan Rubiah Suparman. Kisah seorang jururawat. Tapi entry hari ini tidak ada kena mengena dengan cerita filem itu.
Seperti ungkapan tajuk "Bila Hati Telah Retak", pasti kita tahu akibatnya. Ibarat sehelai kertas yang dironyok, tak mungkin akan kembali kepada rupa asalnya. Bak kata ahli perubatan, mencegah lebih baik dari merawat. Cerita yang ingin dikongsikan ini agak berat untuk seorang remaja seperti Haziq dan Hafiq apatah lagi si manja Hariq. Tapi ya lah... mencegah lebih baik dari merawat.
Kisah sepasang suami isteri Uda dan Dara, yang mendirikan masjid dengan keinginan bersama. Tidak ada paksaan. Tidak ada bantahan. Walaupun tempoh perkenalan agak panjang namun, percintaan berlaku pantas, tindakan juga cepat. Jika sudah jodoh segalanaya menjadi mudah. Pernikahan adalah satu permulaan kepada sebuah kehidupan bersama. Perjalanan hidup selepas lafaz akad adalah lebih utama. Adakah ranjau sepanjang jalan atau cuma sepanjang jalan kenangan?
Seperti pasangan lain yang tidak ada paksaan dan tidak ada bantahan, awal perkahwinan Uda dan Dara juga melalui saat manis. Segalanya indah dan mudah. Bulan pertama berganti bulan kedua. Kali ini Uda dan Dara mula saling ingin mencari sesuatu yang pincang. Dengan tujuan untuk merawat setiap luka-luka kecil yang mula kelihatan. Masing-masing sudah bisa meluahkan apa yang tidak digemari. Jika dulu bertahan kini mula berterus terang. Begitulah seharusnya...
Tahun silih berganti, segalanya baik-baik belaka. Cuma satu yang tidak disedari oleh kedua mereka. Pembahagian tanggungjawab. Kedua-duanya bekerja. Kedua-duanya ada keluarga di samping keluarga baru mereka. Kedua-duanya membutuhkan masa, tenaga dan wang. Atas sikap saling membantu segalanya diagihkan bersama. Tidak pernah pertikai adakah pembahagian sekata? segalanya lebih kurang saja. Selagi tidak ada yang luka, semuanya baik-baik belaka.
Bertahun begitu sebenarnya salah seorang telah retak hatinya. Bila kepincangan tidak lagi diperbaiki. Tidak lagi dipeduli kerana semuanya kelihatan baik-baik belaka. Hukum hakam tidak pernah menjadi pengadil. Ia terpakai atas perkara tertentu sahaja. Meretak hati dalam diam. Bila tiba saat mula merasakan sukar untuk berpatah arah, segalanya dihadapi walau hati kian parah.
Kesanggupan si Dara membantu si Uda sebenarnya tidak menghalalkan cara. Tanggungjawab si Uda tidak terlepas dengan kesudian si Dara. Bila satu sudah diselesaikan oleh si Dara, yang kedua haruslah diselesaikan oleh si Uda. Si Dara bekorban demi keselesaan bersama namum atas kesempatan yang tiba, keselesaan hanya untuk orang lain. Si Uda bersangka segalanya harus dipikul bersama. Keadilah adalah jika semuanya sama. Namun dia terlupa nikmatnya tidak sama walaupun makan makanan yang sama. Cantiknya tidak sama walaupun memakai pakaian yang sama. Si Dara hatinya kian retak namun ketidaksanggupannya untuk bersuara meremukkan jiwanya. Padanya si Uda sudah cukup tua untuk membaca hatinya. Bagaimana segalanya boleh terungkai jika keadaan masih bisu?
Anakku, jika engkau faham maksud kisah ini, bersedialah untuk menggalas tanggungjawab jika engkau sudah sanggup hidup berumahtangga. Kisah di atas hanya sebahagian kecil tanggungjawab. Iaitu nafkah zahir sahaja. Salah satu perkara dari banyak lagi perkara. Tak usah berhajat untuk memimpin empat wanita jika seorang wanitapun engkau tidak sanggup memimpinya. Bila hati sudah retak, segala yang engkau berikan tidak lagi menjadi penawar keretakan hatinya.

No comments:
Post a Comment