About Me

My photo
To know me is to love me...

my ninjas

my ninjas

Tuesday, 14 March 2017

Bila Hati Telah Retak

Tajuk hari ini mengingatkan aku pada sebuah filem lama lakonan Rubiah Suparman. Kisah seorang jururawat. Tapi entry hari ini tidak ada kena mengena dengan cerita filem itu.

Seperti ungkapan tajuk "Bila Hati Telah Retak", pasti kita tahu akibatnya. Ibarat sehelai kertas yang dironyok, tak mungkin akan kembali kepada rupa asalnya. Bak kata ahli perubatan, mencegah lebih baik dari merawat. Cerita yang ingin dikongsikan ini agak berat untuk seorang remaja seperti Haziq dan Hafiq apatah lagi si manja Hariq. Tapi ya lah... mencegah lebih baik dari merawat.

Kisah sepasang suami isteri Uda dan Dara, yang mendirikan masjid dengan keinginan bersama. Tidak ada paksaan. Tidak ada bantahan. Walaupun tempoh perkenalan agak panjang namun, percintaan berlaku pantas, tindakan juga cepat. Jika sudah jodoh segalanaya menjadi mudah. Pernikahan adalah satu permulaan kepada sebuah kehidupan bersama. Perjalanan hidup selepas lafaz akad adalah lebih utama. Adakah ranjau sepanjang jalan atau cuma sepanjang jalan kenangan?

Seperti pasangan lain yang tidak ada paksaan dan tidak ada bantahan, awal perkahwinan Uda dan Dara juga melalui saat manis. Segalanya indah dan mudah. Bulan pertama berganti bulan kedua. Kali ini Uda dan Dara mula saling ingin mencari sesuatu yang pincang. Dengan tujuan untuk merawat setiap luka-luka kecil yang mula kelihatan. Masing-masing sudah bisa meluahkan apa yang tidak digemari. Jika dulu bertahan kini mula berterus terang. Begitulah seharusnya...

Tahun silih berganti, segalanya baik-baik belaka. Cuma satu yang tidak disedari oleh kedua mereka. Pembahagian tanggungjawab. Kedua-duanya bekerja. Kedua-duanya ada keluarga di samping keluarga baru mereka. Kedua-duanya membutuhkan masa, tenaga dan wang. Atas sikap saling membantu segalanya diagihkan bersama. Tidak pernah pertikai adakah pembahagian sekata? segalanya lebih kurang saja. Selagi tidak ada yang luka, semuanya baik-baik belaka.

Bertahun begitu sebenarnya salah seorang telah retak hatinya. Bila kepincangan tidak lagi diperbaiki. Tidak lagi dipeduli kerana semuanya kelihatan baik-baik belaka. Hukum hakam tidak pernah menjadi pengadil. Ia terpakai atas perkara tertentu sahaja. Meretak hati dalam diam. Bila tiba saat mula merasakan sukar untuk berpatah arah, segalanya dihadapi walau hati kian parah.

Kesanggupan si Dara membantu si Uda sebenarnya tidak menghalalkan cara. Tanggungjawab si Uda tidak terlepas dengan kesudian si Dara. Bila satu sudah diselesaikan oleh si Dara, yang kedua haruslah diselesaikan oleh si Uda. Si Dara bekorban demi keselesaan bersama namum atas kesempatan yang tiba, keselesaan hanya untuk orang lain. Si Uda bersangka segalanya harus dipikul bersama. Keadilah adalah jika semuanya sama. Namun dia terlupa nikmatnya tidak sama walaupun makan makanan yang sama. Cantiknya tidak sama walaupun memakai pakaian yang sama. Si Dara hatinya kian retak namun ketidaksanggupannya untuk bersuara meremukkan jiwanya. Padanya  si Uda sudah cukup tua untuk membaca  hatinya. Bagaimana segalanya boleh terungkai jika keadaan masih bisu?

Anakku, jika engkau faham maksud kisah ini, bersedialah untuk menggalas tanggungjawab jika engkau sudah sanggup hidup berumahtangga. Kisah di atas hanya sebahagian kecil tanggungjawab. Iaitu nafkah zahir sahaja. Salah satu perkara dari banyak lagi perkara. Tak usah berhajat untuk memimpin empat wanita jika seorang wanitapun engkau tidak sanggup memimpinya. Bila hati sudah retak, segala yang engkau berikan tidak lagi menjadi penawar keretakan hatinya.

Monday, 19 September 2016

Tuesday, 23 August 2016

BERBUDI

~ Buat baik berpada-pada Buat Jahat jangan sekali ~



Ramai orang menanam ubi
hamba seorang menanam pisang
Puas sudah menabur budi
Emas juga dipandang orang








Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang elok itu budi
Yang indah itu bahasa

Orang berbudi kita  berbahasa
Orang memberi kita merasa


Friday, 19 August 2016

BERPIJAK DI BUMI NYATA

Hakikat kenyataan yang hakiki. Kenyataan adakala sukar diterima dan adakalanya dibayangi dengan impian dan angan-angan. Memang indah menaruh harapan. Harapan yang besertakan doa dan usaha sekalipun tiada jaminan kenyataan apatah lagi jika hanya sekadar impian dan anganan. Namun tidak juga mustahil untuk digapai. Ibarat bulan jatuh ke riba. Ibarat kejora berkelip siang. Semuanya tidak ada yang dapat menduga. 

Ninja 1: Abang rasa abang nak tukarlah cita-cita.
Ibu:        ermmm nak jadi apa pula?
Ninja 1: Rasa nak jadi Lawyer.
Ibu:        Jadilah apa-apa pun abang. Asalkan masih menjadi manusia.
Ninja 1: Ibu agak, ok ke? Boleh ke abang jadi lawyer?
Ibu:       Nak jadi apa pun semua perlu akademik. Zaman abang nanti, saingan hebat tau. Sekarang ni  jadi cleaner pun ada degree tau.
Ninja 1: Adush!!! abang takut lah matematik abang lemah.
Ibu:        That is why kena practise hari-hari. Ni tidak.. bila ibu suruh belajar jer.... bla... bla...bla..bla..

Ninja 1 sumbat telinga dengan earphone, mulut kumat-kamit ikut lagu.

Ninja 1: Ibu dah pergi ke Switzerland?
Ibu:       Dah. Europe semua dah.
Ninja 1: Mana negara Ibu tak pergi lagi?
Ibu:       Timur tengah, New Zealand
Ninja 1: America pernah ke?
Ibu:       Tak. Apasal?
Ninja 1: Abang nak duduk America lah.
Ibu:       Pergi sendiri. Belajarlah rajin-rajin baru ada peluang.
Ninja 1: Abang bukan nak pergi belajar. Nak kerja kat sana.
Ibu:       Sebelum kerja kena lah belajar. Mana nak dapat kerja kalau tak belajar.
Ninja 1: Ibu tak nak ke duduk Amerika?
Ibu:       Abang kerja kat sana nanti ibu ikut lah.
Ninja 1: Ermmmm dapat ke abang pergi sana?
Ibu:        Kalau berusaha tak ada yang mustahil. Insha Allah bang... tapi jangan lupa ibu lah.
Ninja 1: Yesszzaa!

Ninja 1 buat muka puas hati macam dah dapat jaminan impian tercapai. Dalam hati seorang ibu hanya mengaminkan doa dan harapannya.


Pasanglah angan-angan mu. Berusahalah mencapainya. Tidak ada yang mustahil bagi kuasa Tuhanmu. Namun, jika kau hanya merayu bulan pasti ribamu tetap kosong.
Ingatlah, adakalanya segala impian bisa jua musnah. Bukan olehmu tetapi oleh sesuatu yang lain. Adakalanya impian akan menjadi kosong belaka. Ketika itu, rasa kecewa adalah perlu supaya kau tidak menatang egomu dan berpijak di bumi yang nyata. Namun kekecewaan bukan membawa putus asa. Binalah semula impian baru sehingga bertemu kenyataan.

Wednesday, 20 July 2016

BERPESAN-PESAN LAH SAYANG

Berkasih sayang perlu ada buktinya? 

Ramai pasangan bahagia mengiakanya. Ramai juga pasangan yang gagal tidak menafikanya.

Bagaimana membuktikan kasih sayang?

Kasih dan sayang tidak sukar dibuktikan. Apa yang sukar hanyalah mentafsirkannya.

Bagaimana mengesan kasih dan sayang?

Kasih dan sayang  boleh dirasai kewujudannya jika kita memandang dengan mata hati.
Kasih dan sayang wujud tattkala kita diserang rindu ada pengubatnya.
Kasih dan sayang lahir tatkala kita sering berpesan-pesan.

Berpesan-pesanlah agar dia merasai bahawa engkau kasih akan dia.
Berpesan-pesanlah agar dia dapat melihat dalam hatinya ada rasa sayang.



Berpean-pesan biarlah perkara yang baik-baik....


Mimbar : ikatan hati dgn Allah.  Jgn tinggal  kan solat

Mimbar : ilmu yg di ajar perlu  berpegang kpd aqidah.

Mimbar:Hormati guru Dan kenang jasa guru⁠⁠

Mimbar : berbakti kpd ibubqpa

Mimbar : Dr syaaban Ke Ramadhan

Mimbar: jgn sesekali  meragukan perintah Allah

Mimbar : hayatilah Ramadhan.

Mimbar: sinari kehidupan dgn Al Quran.

Mimbar: jadi lah org bertaqwa di sisi Allah

Mimbar: jumaat  ramadhan  terakhir. ..sambutlah syawal  dgn kemenangan

Mimbar Masjid Bongek: Aidil Fitri memahami Jihad yang sebenar.

Mimbar  masjid  dungun : aidilfitri  bukan untuk  bersukaria  tanpa batasan

Mimbar: kedatangan syawal perlu  Di sambut dgn amal dan taqwa

Mimbar: bangkitlah mempertahankan agama  Islam.


Tuesday, 28 June 2016

ANDAINYA KAU BERSAYAP


"Bila memandang bintang di langit jangan lupa rumput di bumi"


N17Atmosphere 360 230616

Fitrah manusia mudah alpa. Namun manusia miliki akal untuk berusaha. Berusaha untuk tidak melupakan asal usul. Berusaha untuk menanam jati diri. Banyak sudah teladan di hadapan mata. kita didatangkan dari pasangan adam dan hawa yang bergelar ibu dan ayah. Dari rasa cinta insan berdua membenih jiwa yang ada dalam sebuah nyawa. Nyawa yang kita hidupkan dengan setiap hela nafas bersama keizinan tuhan.

Tiba saatnya kita diberi ilmu. Ilmu dunia dan ilmu akhirat. Kedua-duanya perlu diikat agar setiap tindak saling dikait.  Bila usia mengizinkan sepasang sayap. Terbanglah sayang...

Terbanglah setinggi mana yang kau mampu. Rentaslah langit cita-citamu. Carilah di atas sana segalanya yang tidak kau peroleh di bumi. Nikmatilah segalanya di atas sana yang tidak bisa kau bawa pulang. Namun, saat engkau di sana apa yang kau simpan dalam hati usah kau biarkan saja ia sepi di hati. Carilah jalan pulang...

Bintang tidak selamanya berkelip. Awan tidak selamanya di atas. Ada ketika ia mencair dan jatuh ke bumi. Sedangkan matahari tidak mampu bertahan apatah lagi hatimu yang hanya ada sebuah cinta. Pulanglah kembali menjejak rumput di bumi. Kelak kau bisa terbang lagi kerana sayapmu sentiasa padamu.

Restu seorang ibu usah kau lupa...

Wednesday, 8 June 2016

Ramadhan Kembali

Ramadhan Kareem!

Alhamdulillah, diberi kesempatan lagi menemui Ramadhan.

Tiap kali menyambut Ramadhan banyak niat dan hasrat terpahat. Semuanya mengharapkan Ramadhan kali ini lebih sempurna. Semoga benar, ia akan lebih sempurna.
Jika dahulu fadilat-fadilat dan amalan-amalan baik sepanjang Ramadhan disampaikan dari bibir ke bibir.  Sesiapa yang pergi ke rumah Allah akan lebih mendapat ilmu. Namun kemajuan teknologi hari ini memudahkan kita menerima pelbagai bidang ilmu hanya dengan "touch n swipe" skrin telefon sahaja. Jadi tidak ada alasan lagi bahawa kita masih jahil mengenai sesuatu dalam hukum agama.


Ramadhan kali ini juga membawa rutin yang hampir sama. Berbuka,  berterawih, bertadarus, bersahur, bersedekah dan sebagainya. Namun penghayatannya mungkin berbeza. Dahulu Hariq masih agak sukar menghayati Ramadhan kerana usianya. Tahun ini dia sudah mulai mengerti bahawa seorang Musilm wajib berpuasa. Hariq sudah boleh turut bersama solat dalam saf, namun sesekali perlu ditegur.

Haziq dan Hafiq memang sudah mencapai tahap baligh dan wajib menunaikan ibadah sepenuhnya seperti seorang dewasa. Aku rasa bersyukur kerana Ramadhan kali ini aku tidak banyak mendengar rungutan tentang juadah berbuka. Hampir tidak ada cerita atau soalan tentang "buka puasa makan apa?". Memandangkan hanya aku seorang "Chef" di rumah itu, mungkin aku merindui soalan itu.  Namun dari sudut yang lain aku rasa kuasa besar sudah berada di tanganku. Kedua-duanya mempunyai cermin yang berbeza. Semuanya berkait dengan penghayatan Ramadhan.

Syukur kepada Pencipta kerana masih memberi aku segalanya yang aku perlu dalam menunaikan Ibadah Rukun ini. Walau kadang kala kesabaranku digoncang oleh keimanan yang menipis, aku masih boleh bertahan bersama hati yang dapat memendam rasa. Ini sangat membantu aku bersyukur dan menghambakan diri pada Allah. Ketidaksempurnaan yang terpampar di kaca mataku adalah sebenarnya kesempurnaan yang sepadan dengan ku. Perasaan ini sebenarnya memberi kekuatan agar aku tidak keluar dari landasan. Menerima seadanya dan menghargai setiap satunya.

Aku jua berharap perjalanan Ramadhan ini memberi aku ruang mengutip segala bekal yang aku perlu di sana nanti. Semakin hari semakin memendek usiaku. Semoga Allah menggambilku saat imanku berada di darjat yang paling tinggi. Semoga juga zuriatku akan sentiasa menghargaiku dengan Al-fatihah untukku setiap detik waktu tika aku di sana nanti.